Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tuesday, 24 September 2013

Kenali Punca Sukar Hamil


sukar hamil
Kenali punca anda sukar hamil.


Endometriosis adalah masalah perubatan atau penyakit yang berkaitan dengan tisu yang melapisi bahagian dalam rahim (juga disebut endometrium)  telah tersebar dan tumbuh di kawasan organ lain di dalam tubuh wanita. Kebiasaannya berlaku pada organ-organ pelvis. Endometriosis yang ditemui di saluran fallopian dan ovari boleh menyebabkan parut, pelekatan dan salur fallopian tersumbat serta boleh mempengaruhi kesuburan seseorang wanita.
Endometriosis dikatakan menyerang 7 peratus daripada wanita dalam lingkungan umur 18-35 tahun dan merupakan salah satu sebab utama mengapa wanita gagal hamil.


Apakah gejala-gejala endometriosis?
Sakit pada bahagian pelvis adalah di antara gejala utama dan ia kerap terjadi sebelum kitaran haid bermula lagi. Sakit juga kerap terasa semasa melakukan hubungan seks, semasa membuang air kecil atau air besar. 


Walau bagaimanapun, kekerapan dan intensiti rasa sakit sebenarnya tidak berkait dengan keseriusan penyakit yang dialami. Sesetengah wanita mungkin mengalami sakit yang keterlaluan tetapi endometriosis mungkin masih dalam peringkat awal dan kepada mereka yang tiada gejala atau sakit yang ringan mungkin sudah pada tahap endometriosis yang sudah teruk.


Dalam kebanyakkan kes, endometriosis gagal didiagnoskan pada peringkat awal sehinggalah wanita tersebut berjumpa doktor disebabkan kegagalan untuk hamil. Ini kerana kebanyakkan dari pesakit tidak mempunyai sebarang tanda dan gejala.


Apakah kesan endometriosis terhadap kesuburan wanita?

Untuk mengetahui kaitannya dengan kesuburan, amat penting untuk wanita memahami dengan jelas apa itu endometriosis dan bagaimana ia boleh mempengaruhi  kesuburan mereka. 


Dalam keadaan normal, lapisan endometrium cuma ada pada dinding rahim sahaja. Manakala bagi kes endometriosis, lapisan tisu itu juga dijumpai pada kawasan badan yang lain terutamanya di dalam pelvis seperti ovari, salur fallopian, di permukaan rahim, di ruangan pelvis sekitar usus, rektum dan pundi kencing. Ia boleh juga dijumpai di bahagian-bahagian yang lebih jauh pada tubuh termasuklah paru-paru dan hati, tetapi ini sangat jarang berlaku.


Walaupun tisu endometrium berada di luar kawasan yang tidak sepatutnya, ia masih responsif terhadap perubahan hormon yang berlaku semasa kitaran haid wanita. Seperti mana haid, tisu endometriosis akan gugur dan berdarah, dengan cara yang sama dengan dinding rahim gugur dan berdarah semasa kitaran haid. Pendarahan ini boleh menyebabkan rasa sakit, terutama sebelum dan semasa haid. 


Tisu yang gugur dan berdarah di sekitar organ pelvis akan menyebabkan parut dan organ-organ lain yang berhampiran akan melekat di antara satu sama lain.


Sekiranya tiada rawatan dan tidak dikesan lebih awal, ia akan akan menyebabkan struktur organ-organ pelvis beralih dari kedudukan normal. Sebagai contoh yang paling kerap berlaku, kedudukan ovari yang melekat pada uterus akan menyebabkan salur fallopian akan berjauhan dari ovari dan sekiranya berlaku ovulasi, telur tidak akan dapat dicapai oleh salur fallopian dan persenyawaan tidak akan berlaku. Dalam kes yang lebih serius, kerosakan mendalam pada salur fallopian menyebabkan ia tersumbat, rosak dan infertiliti akan berlaku. Ovari yang ditumbuhi endometriosis pula akan mengumpul darah semasa kitaran haid dan berlakulah ovarian cyst yang mengandungi darah iaitu seakan-akan seperti coklat cair di dalamnya.

Sekiranya keseluruhan ovari telah diselaputi oleh endometriosis, ovari tidak dapat lagi berfungsi dengan normal dan gagal melepaskan telur disebabkan follikel terperangkap oleh parut pada bahagian permukaan ovari.


Endometriosis juga boleh mengurangkan kesuburan dengan melepaskan bahan kimia beracun pada pelvis. Sekiranya telur berjaya dilepaskan juga dari ovari, bahan kimia ini boleh mengurangkan kemampuan telur untuk disenyawakan. Bahkan ia juga boleh memberikan signal kepada sel pemusnah badan untuk melemahkan telur, sperma dan juga embrio menyebabkan janin kurang sihat dan keguguran senang berlaku.


Siapa Berisiko? Apa Punca Endometriosis?
Sehingga kini saintis masih belum dapat mengenalpasti punca sebenar bagaimana ia terjadi. Tetapi terdapat teori yang baik dan boleh memberikan penjelasan mengapa ia mula terjadi. Adalah dipercayai bahawa darah haid yang berundur ke belakang telah membawa bersama tisu endometrium menyebabkan ia tumbuh pada pelvis dan berdarah seperti mana kitaran haid. Ada juga yang menyatakan ia tersebar melalui darah ke pelbagai bahagian tubuh yang lain. Ia juga mungkin melibatkan mekanisma yang lebih kompleks di mana terdapat interakasi tidak normal pada peringkat sel dan perubahan hormon.

Endometriosis kerap terjadi pada wanita yang berada dalam lingkungan umur lewat 20-an dan 30-an dan juga pada wanita yang tidak pernah mempunyai anak. Endometriosis memiliki komponen genetik iaitu sekiranya seseorang wanita yang mengalami endometriosis mempunyai saudara terdekat, ada kemungkinan saudaranya itu mungkin mengalami endometriosis juga. 


Bagaimana diagnosa boleh dilakukan?

Doktor selalunya akan mengambil sejarah perubatan terperinci dan melakukan pemeriksaan fizikal, termasuk pemeriksaan faraj dan juga pemeriksaan US. Jika doktor mengesyaki kemungkinan wanita itu mengalami endometriosis, beliau mungkin menyarankan pembedahan laparoskopi dijalankan untuk melihat keadaan bahagian dalam ruang pelvis. Jika endometriosis dijumpai, doktor akan menentukan sejauh mana endometriosis sudah dan berapa banyak kerosakan yang telah berlaku.

Bagaimana Endometriosis dirawat?
Rawatan untuk endometriosis bergantung pada sejauh mana penyakit, gejala dan keinginan pesakit untuk memiliki anak. Endometriosis boleh dirawat dengan ubatan, pembedahan atau kombinasi kedua-duanya. 

Walau bagaimanapun pesakit harus sedar bahawa proses yang menyebabkan endometrisis masih lagi berlaku dan akan berterusan berlaku sepanjang hidup. Jadi risiko untuk mendapat penyakit ini semula adalah tinggi. 


Rawatan ubat sahaja mungkin boleh menghilangkan rasa sakit tetapi tidak akan  menghalang endometriosis dari merebak. Rawatan hormon pula boleh mempengaruhi kesuburan dan tidak sesuai untuk diberikan kepada mereka yang merancang untuk hamil.


Dalam banyak kes endometriosis, pembedahan menjadi pilihan utama dan pembedahan biasanya dilakukan melalui laparoskopi. Semasa laparoskopi, tisu endometriosis dimusnahkan atau dibuang dan tisu-tisu yang baru terjadi akan dibakar dengan mengunakan alat khas. 


Beberapa penyelidikan menunjukkan bahawa kadar kehamilan selepas pembedahan untuk wanita yang mengalami endometriosis adalah setinggi 47 peratus. Kepada mereka yang mengidap endometriosis yang serius mungkin sekitar 38 peratus. Walaupun kadar kehamilan tidaklah begitu tinggi, tetapi ia jauh lebih baik daripada kadar kehamilan tanpa sebarang rawatan pembedahan.

Jika anda di luar sana yang mempunyai pengalaman sukar hamil bolehlah kongsi dengan NB Afendy bagi tujuan memberi semangat kepada yang lain

No comments :

Post a Comment