Fakta berkaitan perempuan maskulin sukar untuk mencari teman lelaki ada benarnya. Perkara itu membuatkan
perempuan berotot sanggup tak kahwin dan ‘rela’ digelar anak dara tua.
Di luar negara, kebanjiran perempuan berotot tak hairan lagi kerana
mereka mempunyai badan saiz besar berbanding wanita Asia. Bahkan
ketinggian dan berat badan mereka lebih berganda daripada masyarakat di
sini.
Jika kita lihat jurulatih sukan wanita luar negara, cenderung
memiliki tubuh berotot dan lebih sasa, hingga tak dapat nak bezakan
lelaki dan perempuan kerana saiz badan hampir serupa.
Salah satunya menerusi rancangan gusti yang hebat ditayangkan di Malaysia, di mana program televisyen itu bukan hanya disertai oleh kaum lelaki malah turut ada kaum wanita yang ‘lawan’ sesama jantina.
Isu ini agak janggal di negara kita dan payah untuk lihat wanita tempatan ada otot besar. Malahan akan jadi satu tanda tanya bila ada kaum Hawa pasang ‘niat’ untuk simpan otot lengan. Sedangkan di sini, lambakan produk kurus di pasaran untuk wanita tapi masih ada antara mereka ingin kelihatan sasa seperti lelaki.
Berbeza dengan masyarakat barat, perempuan di sana tak ambil pusing anggapan orang sekeliling. Namun persepsi ini akan berubah jika bertukar ke Malaysia. Perempuan berotot akan dipandang sebelah mata dan dituduh yang bukan-bukan oleh sebilangan pihak.
Perspektif kaum lelaki terhadap wanita berotot juga tak mampu diubah kerana secara lumrah lelaki akan pilih pasangan wanitanya yang mempunyai saiz kecil, kurus atau tubuh sederhana besar dan bersopan santun ibarat ‘gadis Melayu terakhir’.
Faham bila tak semua kaum Adam dapat terima perempuan ada otot besar dan bimbang seandainya wanita itu lebih kuat daripada dirinya. Paling tidak bimbang jika ada kelakuan lelaki yang tak disenangi akan berlakunya kejadian tumbuk-menumbuk, mahu lebam biji mata lelaki!
Dianggap tak cantik juga antara tohmahan yang bakal dilempar kepada perempuan berotot besar. Namun tak gusar jika penumbuk besar naik ke muka? Lucu bila membayangkan!
Selain badan berotot sudah tentu lelaki berfikir dua kali untuk melamar wanita itu sebagai isteri atau kekasih. Ditambah pula bila bakal ibu mentua turut takut untuk ‘bermenantukan’ mereka yang badan sasa ini.
Sentuh berkaitan dengan sukan di Malaysia pula, atlit wanita perlu mempunyai badan berotot untuk kuatkan stamina tubuh mereka terutama sukan bina badan dan angkat berat.
Persoalannya, kenapa ada juga wanita yang menganggap perlu untuk perempuan simpan otot? Halnya kerana kejadian rogol, ragut dan bunuh buat perempuan bimbang untuk keluar rumah kerana kebanyakan mangsa adalah wanita, hingga pasang badan bukan untuk kurus dan cantik tapi simpan otot besar agar dilihat kuat.
Kejadian yang banyak menimpa kaum Hawa itu beri tamparan hebat buat mereka hingga ambil langkah berjaga-jaga dengan menayang otot lengan.
Justeru lelaki tak berani nak buli dan tak akan pertikaikan kemampuan seseorang wanita. Mereka juga rasa lebih selamat dengan saiz itu agar tidak dilihat lemah oleh kaum lelaki.
Antara sebab lain ingin dilihat gagah seperti lelaki dan kelihatan lebih berani. Selain minat dan cenderung untuk pergi ke gimnasium antara punca perempuan bina otot.
Pada dasarnya lelaki dan perempuan digalakkan bersukan untuk menjaga kesihatan agar lebih baik dan terhindar daripada sebarang penyakit merbahaya seperti masalah jantung, kencing manis dan darah tinggi. Untuk elak penyakit itu merebak lebih teruk, mereka beranggapan perlu lebih sihat dan berotot.
No comments :
Post a Comment