Susahnya bersuamikan gay - kisah benar
BAGI Maisara (bukan nama sebenar) sudah tiga tahun dia cuba menahan
diri dan bersabar untuk menyelamatkan perkahwinannya daripada runtuh
kerana cinta yang terlalu mendalam terhadap Hafiz (juga bukan nama
sebenar).
Sepanjang tiga tahun itu jugalah dia melalui pelbagai cabaran dalam
perkahwinan. Selain sentiasa ditinggalkan suami, dia juga terpaksa
menjadi insan yang pandai berbohong kepada ibu dan ayahnya dengan
memberi pelbagai alasan demi menyelamatkan air muka dan maruah Hafiz,
yang kini bekas suaminya.
Apa yang paling mengejutkan, sepanjang perkahwinan tersebut dia tidak
pernah 'disentuh' oleh Hafiz menyebabkan dia kekal dengan statusnya
sebagai anak dara sejak berkahwin sehinggalah dia diceraikan baru-baru
ini.
Perkenalannya dengan Hafiz, yang ketika itu bergelar duda, hanya
berlangsung selama enam bulan sebelum lelaki itu bertindak menghantar
pinangan.
Ternyata Maisara yang sedang kemaruk cinta dan asyik mahsyuk dengan
Hafiz yang bertubuh sasa dan agak tampan, cepat sahaja melontar
persetujuan biarpun mengetahui perkenalan mereka cukup singkat.
"Hafiz cinta pertama saya. Walaupun dia pernah berkahwin dan bercerai
kerana dakwanya sudah tiada persefahaman, semuanya tidak menjadi hal
bagi saya.
"Rombongan peminangan pun dihantar di kampung saya di Johor. Peliknya
dari sebelah pihak lelaki dia hanya mewakilkan dua orang sahabat tanpa
ada saudara-mara yang rapat.
"Dia menyatakan ibu dan bapanya tidak boleh hadir kerana mereka tidak
sihat. Alasan itu tetap saya terima seadanya kerana ingin bersama
dengan dia sehidup dan semati," ujar Maisara lembut.
Tiba hari perkahwinan, sekali lagi hanya Hafiz dan dua tiga orang rakan rapatnya menghantar pengantin.
Apabila ditanya baharu dia mengaku perkahwinan itu tidak mendapat restu daripada orang tuanya.
Namun dia meyakinkan Maisara, semua itu hanya sementara kerana selepas ini mereka akan cuba berbaik dengan orang tuanya.
"Pernikahan dan persandingan pun diteruskan dan saya telah sah
menjadi isterinya. Pada malam pertama kami, Hafiz tidak tidur bersama
saya tetapi memberi alasan terpaksa balik ke Kuala Lumpur petang itu
juga kerana ada hal penting berlaku di pejabat.
"Memandangkan enggan berprasangka buruk terhadap suami sendiri saya
bersetuju apatah lagi masa kami sebagai suami isteri masih panjang,
biarpun ibu, ayah dan adik-beradik mempersoalkan tindakan Hafiz.
"Sehari selepas majlis pernikahan dia mengarahkan saya balik ke Kuala
Lumpur dengan segera dan dia hanya menunggu di stesen bas di Puduraya,"
jelasnya.
Bulan pertama perkahwinan, rumah tangganya berjalan seperti biasa.
Hafiz melayannya dengan baik dan segala keperluan rumah semua
disediakan.
Cuma seperkara yang menjadi kemusykilan Maisara iaitu Hafiz masih enggan mendekatinya secara intim.
Ada sahaja alasan yang diberi. Paling tidak pun dia akan balik kerja lewat malam selepas Maisara tidur.
Pada hujung minggu pula dia sering ditinggalkan kerana Hafiz sering
memberi alasan perlu balik ke kampung untuk mengambil hati ibunya yang
masih menentang perkahwinan mereka.
"Apabila saya memohon izin untuk ikut balik kampung bertemu dengan
keluarganya dia melarang dengan alasan ibunya tidak boleh menerima saya
sebagai menantunya.
""Selepas bercerai baru saya tahu bukan itu sebabnya. Memang dia
balik kampung tetapi bukan bertemu ibubapanya tetapi melepak bersama
rakan-rakan lelakinya," jelas Maisara panjang lebar.
Bulan membawa ke tahun, kehidupan Maisara begitu juga tanpa ada
tanda-tanda perubahan. Begitu pun dia cuba mengawal kesabaran dan kerap
kalijuga berbohong kepada keluarganya di Johor apabila Hafiz seringkali
tidak balik ke kampung mertuanya.
Puas Maisara berfikir apa sebenarnya yang menjadi masalah bekas
suaminya dan apa punca kepada keadaan rumah tangganya yang tidak
menentu.
Hendak mengadu kepada rakan atau ibu bapa, Maisara terasa malu kerana
rumah tangganya tidak sampai setahun sudah mempunyai masalah sedangkan
majlis persandingan tempoh hari dibuat secara besar-besaran.
"Saya pernah cuba bertanya pada suami kemungkinan dia ada masalah
kesihatan dan menyarankan berjumpa doktor. Tapi akhirnya saya pula
dimarahi dan dituduh cuba mereka-reka cerita.
"Selepas daripada itu, hubungan kami makin dingin. Dia semakin jarang
menegur saya dan tabiatnya balik lambat semakin menjadi-jadi hingga
kadang kala langsung tidak pulang ke rumah.
"Apabila ditanya, seperti biasa dia akan memberi alasan, lepak di rumah kawan-kawan bujangnya."
Buntu dengan keadaan tersebut, Maisara akhirnya nekad untuk mencari jawapan sendiri.
Dia berusaha menjejaki bekas isteri Hafiz, Ila (bukan nama sebenar) dan berjaya memperoleh nombor telefon wanita tersebut.
" Akhirnya kami bersetuju berjumpa di satu tempat yang telah
dirancangkan. Saya cerita segala masalah yang saya lalui dan apa yang
mengejutkan saya, dia juga melalui pengalaman yang sama," jelasnya.
Menurut Ila, , mereka hanya sempat menjalani kehidupan berumahtangga
selama setahun dan setelah dirisik pada rakan-rakan Hafiz barulah
diketahui lelaki itu merupakan seorang gay.
"Berita yang disampaikan Ila amat mengejutkan saya. Saya pulang ke
rumah dan berdepan dengan Hafiz tentang perkara yang sebenarnya. Pada
mulanya dia cuba menafikan, namun akhirnya dia mengaku.
"Dia mengamuk dan mula memarahi saya dengan melemparkan kata-kata
nista dan penghinaan. Dia cuba halau saya dari rumah tetapi saya tidak
berganjak sehingga akhirnya dia sendiri yang keluar," kata Maisara.
Biarpun sudah mengetahui kecenderungan Hafiz, Maisara tetap setia
menunggu dan berdoa agar sikap suaminya itu berubah serta kembali ke
pangkal jalan dengan meninggalkan rakan-rakan lelakinya.
Kesabaran Maisara akhirnya menemui titik noktah. Biarpun rasa
cintanya masih menebal, akhirnya dia nekad memohon fasakh daripada
mahkamah.
"Sebelum Ramadan tahun ini saya dengan rasminya telah dijatuhi talak
hidup bersendirian tanpa lelaki bergelar suami di sisi," kata Maisara.
Persoalannya sekarang kata Maisara, mengapa Hafiz terdesak menikahi dirinya sedangkan dia tahu nafsunya terarah kepada lelaki.
"Untuk apa pernikahan demi pernikahan kalau sekadar untuk melukakan
hati dan perasaan seorang wanita yang juga isterinya yang sah," kata
Maisara bungkam.
Bergitulah rintihan seorang isteri apabila bersuamikan gay
No comments :
Post a Comment