DALAM menjalani hidup berumah tangga bukan semua
orang bernasib baik. Ada yang bahagia dari mula kahwin hingga ke akhir
hayat, hidup aman damai. Ada yang terpaksa bersendirian jadi ibu
tunggal, ada juga ditinggalkan, digantung tak bertali, tetapi lebih
malang apabila terpaksa menanggung biawak hidup dan dikelilingi hutang.
''Inilah nasib yang saya lalui. Dah lebih 10 tahun saya terpaksa
menanggung beban hutang bank dan dengan saudara mara.'' Itu cerita
Norhashina dalam e-mel diikuti perbualan di telefon.
''Saya rasa sayalah orang paling malang di dunia. Kalau kurang
didikan agama dan iman rasanya mahu saya terjun rumah flat ini. Tapi
bila memikirkan tiga anak masih perlukan saya lagi, saya terpaksa
kuatkan semangat, tebalkan muka, terus menjalani hidup yang perit ini.
''Saya dah kahwin lebih 15 tahun. Seawal lima tahun perkahwinan kami,
suami saya Afiq yang bekerja dengan kerajaan, berhenti sebab katanya
gaji tak seberapa, kerjanya berat dan dia dakwa tak disukai bosnya yang
juga suka membulinya.
''Saya percaya ceritanya, jadi saya suruh minta tukar jabatan lain
tapi dia tak mahu. Saya sanggup ikut dia pindah ke negeri lain, manalah
tahu selepas berhijrah akan lebih baik, lagipun boleh jimat sikit
berbanding tinggal di KL, tapi dia tolak.
''Dia bercadang buat bisnes sendiri, katanya ada beberapa kawannya berjaya, jadi senanglah.
''Peringkat awal saya tak setuju sebab mana nak cari modal. Katanya
dia boleh pinjam dengan saudara mara, ada adik beradiknya yang nak joint sekali tentu bisnesnya boleh jalan dengan baik.
''Kerana desakan kuat saya mengalah. Memang adiknya mahu joint
sekali. Sedap juga rasa hati sebab emaknya turut membantu dan adiknya
ada duit, bolehlah buat bisnes bersama berbekalkan pengalaman kerjanya.
''Tetapi bab bisnes dengan adik beradik ni, bukan semua boleh
bertahan lama. Ada saja yang tak betul dan tak setuju angin. Akhirnya
pecah kongsi sedangkan bisnes baru tiga tahun berjalan, belum ada untung
lagi kecuali dia dapat makan gaji dan kerja ikut suka hati, maklum dia
bos.
''Setelah berbalah entah macam mana adik ipar saya yang teruskan
bisnes itu, sementara Afiq terpaksa angkat kaki keluar tinggalkan bisnes
tersebut. Afiq bercadang nak buat syarikat sendiri. Saya tak faham apa
masalah mereka sebenarnya, tetapi mengikut cerita Afiq, adiknya menipu
dan tendang dia dari syarikat tersebut. Mereka bergaduh besar. Itu
cerita Afiq awalnya dan saya termakan cakapnya.
'' Dengan sedikit imbuhan yang diberikan oleh adiknya selepas pecah
kongsi. Afiq buat bisnes baru tak mahu berkongsi dengan sesiapa sebab
katanya dah ada pengalaman. Sayangnya, tak sampai dua tahun bisnes tak
boleh jalan tanpa tambahan wang. Ketika itulah dia minta saya bantu buat
pinjaman bank. Walaupun hutang kereta belum habis, saya terpaksa pinjam
lagi, demi membantunya. Maka bertambahlah beban saya.
''Kerana tekanan hutang, saya terpaksa sekat perbelanjaan keluarga.
Nak minta bantuan keluarga Afiq malu, sebab dulu dia bergaduh dengan
adiknya. Kini syarikat adiknya maju sedangkan dia bermasalah dan tak
cukup duit.
''Nak jadikan cerita ketika syarikat semput dan bertambah senget
dengan beban hutang yang bertambah, Afiq main cinta. Saya tak sedar
hinggalah satu hari dengan kuasa Allah, saya dapat panggilan telefon
daripada kawannya. Si kawan ini selepas mengenalkan diri terus meminta
bantuan datang mengambil mereka kerana kereta Afiq masuk longkang. Dan
mereka perlu segera jumpa pelanggan.
''Saya tak jawab cuma dengar ceritanya. Tetapi selepas saya katakan
saya tak ada kereta, barulah kawan Afiq tersedar dia tersalah orang.
Tanpa meminta maaf dia meletakkan telefon. Saya tahu itu telefon Afiq.
Dan saya telefon kembali hendak tanyakan keadaannya dan kereta yang
masuk longkang, teruk ke. Tapi tak berjawab.
''Saya cuma hairan macam mana ada wanita sanggup bercinta dengan
Afiq? Bila ditanya Afiq menafikan dia ada kawan perempuan, sebaliknya
mendakwa itu kekasih kawannya. Tetapi berapa lama boleh tipu, bangkai
gajah tak boleh ditutup dengan nyiru. Dengan kebijaksanaan anak-anak
zaman sekarang, anak saya dapat mengesan nombor telefon wanita tersebut.
Dan saya buktikan dengan menghubunginya. Rose nama singkatnya.
''Dia mengaku kenal Afiq dan mendakwa banyak bantu bisnes Afiq. Pasti
saya 'panas' sebab saya banyak berhutang bank kerana Afiq. Akhirnya
Afiq mengaku bila bukti depan mata. Kerana sering bertengkar sebab
bisnes pun tak jalan, akhirnya Afiq 'tutup kedai', tetapi hubungannya
dengan Rose berterusan di belakang saya.
''Tanpa bisnes Afiq duduk di rumah, tetapi sikapnya memang
menyakitkan hati. Saya kena sediakan paling kurang RM20 sehari untuk
rokok dan minum di gerai ketika berjumpa dengan kawannya. Bila saya tak
mampu sediakan kehendaknya, dia mengamuk dan keluar rumah. Saya tahu dia
cari Rose. Isteri mana tak sakit hati?
''Saya nasihatkan Afiq kalau tak buat bisnes duduklah rumah,
kurangkan merokok kerana boleh bantu kurangkan belanja harian, tetapi
orang tengah bercinta tak makan nasihat. Paling menyakitkan hati katanya
kalau saya tak bantu, ada orang lain sedia membantunya bila-bila masa.
Saya faham maksudnya, tetapi saya mohon dia fikirkan masalah saya yang
menanggung hutang bank kerananya dengan gaji tak sebanyak mana.
''Akhirnya saya tak boleh sabar dengan kelakuannya. Bukan saya tak
bantu, dah banyak kali sampai terjerat dengan bank. Lagipun bila untung,
Afiq tak sedar diri joli dengan kawan, bukannya mahu tolong bayar
hutang.
''Kepada kekasih Afiq, janganlah bangga sangat dapat pikat dia, anda
pun akan jadi mangsa seperti saya satu hari nanti. Afiq tak boleh hidup
tanpa duit, belanjanya tinggi. Untung tak seberapa tapi terlebih gaya,
berniaga pula hangat-hangat tahi ayam.
''Kali ini sudah tiga kali dia 'tersangkut' dalam bisnes. Saya tak
sanggup lagi. Kalau dia rasa saya tidak berguna lagi, saya tak peduli
kalau dia nak duduk dengan Rose. Biar Rose tanggung dia pula.
''Saya tak makan di pejabat cuma minum air, sedangkan dia di rumah
saya kena siapkan duit rokok dan untuk dia belanja kawannya di gerai.
Nasi lauk telur dengan kicap dah jadi menu biasa anak-anak. Adilkah ini?
Kalau Afiq tak suka dia boleh pergi. Saya tak peduli.
''Masuk tahun ini hampir dua tahun dia duduk rumah tak bekerja dan
tak buat bisnes. Kawannya pun dah ramai lari. Kini dia gila main
komputer, siang malam mengadap benda tu. Saya suruh cari kerja, tapi dia
enggan. Alasannya dia bukan jenis yang boleh bekerja dengan orang lain.
Dah tak ada hasil pun banyak songeh. Saya tak tahu sampai bila kena
pikul beban ini?'' Itu cerita Norhashina sambil menangis.
No comments :
Post a Comment