Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Wednesday, 18 September 2013

Kenapa Anda Gugur?

keguguran

Jika anda pernah mengalami keguguran, anda tentu menghadapi kesulitan fizikal dan emosi yang sukar. Ketika ujian air kencing menunjukkan anda hamil, anda mungkin merasa terlalu gembira dan berkongsi berita baik dengan kawan rapat serta sanak saudara. Namun, dalam masa yang singkat, perut anda mula sakit dan faraj anda mula berdarah. Lawatan ke klinik doktor menunjukkan anda telah keguguran.Walaupun terkejut dan kecewa, anda akhirnya perlu reda dengan apa yang berlaku.


APAKAH itu Keguguran? mengapa ia TERJADI?
Keguguran ialah kehamilan yang gugur sebelum 20 minggu. Mekanisma persenyawaan yang menggabungkan sel sperma dan sel telur dan juga proses pembentukkan janin adalah adalah sangat terperinci dan rumit. Sedikit ketidaksempurnaan akan menyebabkan kerosakan janin dan ramai professional perubatan percaya, keguguran adalah satu cara tubuh berurusan dengan janin yang tidak normal.


Terdapat dua gejala keguguran iaitu pendarahan dari faraj dan kejang pada perut. Namun begitu tidak semestinya tanda atau keadaan ini menunjukkan wanita keguguran kerana terdapat sebilangan besar wanita yang berdarah dan mengalami sakit perut dapat melalui tempoh kehamilan yang normal dan melahirkan anak yang sihat.

Sekiranya anda mengalami pendarahan yang banyak dan tisu seperti daging tiba-tiba keluar dari faraj, letakkan tisu tersebut di dalam bekas bersih dan bawalah ia ke klinik doktor seberapa segera untuk memastikan samada tisu tersebut sebenarnya cebisan tisu janin atau tidak.

Bertindak segera untuk menghubungi doktor jika mengalami pendarahan atau sakit perut. Doktor akan memeriksa dan cuba menentukan apa yang terjadi pada kandungan anda.

siapa yang berisiko ? Apa Punca Keguguran?
Sebahagian besar keguguran terjadi dalam tempoh tiga bulan pertama kehamilan dan pada kadar 15 hingga 20 peratus daripada semua kehamilan. Bila terjadi keguguran, ramai wanita menyalahkan diri sendiri dan cuba mencari alasan mengapa keguguran terjadi.

Dalam kebanyakan kes, pesakit tidak akan dapat mencari jawapan kerana punca keguguran biasanya tidak diketahui. Dianggarkan bahawa lebih separuh daripada semua keguguran disebabkan oleh masalah berkaitan dengan kromosom janin. Masalah kromosom ini berlaku secara rawak dan boleh berlaku pada setiap peringkat kejadian janin. Ketika telur dan sperma bergabung, ribuan langkah perlu berlaku untuk membentuk janin normal, dan jika masalah berlaku pada jumlah kromosom atau struktur kromosom, maka keguguran boleh berlaku. 

Kajian menunjukkan sebahagian besar aspek kehidupan seharian tidak meningkatkan risiko keguguran. Setakat ini tidak ada bukti yang menunjukan kegiatan seperti bekerja, bersukan, cara pemakanan dan seks berkait dengan keguguran. Seperti juga masalah emosi, tekanan dan morning sickness tidak menjurus ke arah berlakunya keguguran.

Dalam hal sebegini, jangan salahkan diri sendiri. Kebanyakan keguguran biasanya berlaku secara kebetulan dan bukan sesuatu anda boleh cegah.

Bagaimana diagnosa keguguran dibuat ?
Kadang-kadang sukar untuk mengetahui adakah kehamilan anda akan mengalami keguguran atau tidak. Anda dan doktor anda harus memberi perhatian tambahan dalam tempoh selama beberapa minggu awal kehamilan anda. Kalau masalah seperti pendarahan dan kejang berterusan, anda mungkin akan diminta untuk mengurangkan aktiviti fizikal dan mungkin dinasihatkan untuk berehat di tempat tidur. Dalam tempoh ini adalah penting untuk tidak mengadakan hubungan seksual.

 Tindakan pencegahan ini mungkin tidak selalunya efektif, tetapi ia boleh mengurangkan ketidakselesaan anda dan juga boleh memberi anda ketenangan fikiran dengan mengetahui bahawa anda telah cuba melakukan segala yang terdaya untuk mengelak dari keguguran.

Doktor mungkin akan melakukan pemeriksaan faraj untuk melihat pangkal rahim bagi mengenal pasti sama ada berlaku sebarang pendarahan aktif atau terdapat bukaan serviks. Selain itu, doktor akan melakukan US untuk melihat jantung janin sama ada masih berdegup atau tidak . Sekiranya ada degupan, ia adalah tanda positif yang janin masih hidup. Jikalau degupan jantung tidak dikesan, doktor mungkin akan memberikan tempoh selama 1 minggu lagi untuk membuat ulangan US. Sekiranya masih tiada pergerakan jantung, kemungkinan besar telah berlaku keguguran.

Andainya anda tidak ingin menunggu, ada alternatifnya. Doktor mungkin menyarankan ujian darah kehamilan human chorionic gonadotropin (hCG) dijalankan. Sekiranya tiada peningkatan memuaskan dalam masa 48 jam, kemungkinan berlaku keguguran adalah tinggi manakala jika tahap peningkatan menjadi tinggi dua kali ganda, kemungkinan besar kandungan anda adalah hidup. 

Bagaimana Keguguran dirawat?
Setelah diagnosa keguguran telah dibuat, rawatan lanjut adalah bergantung kepada jumlah tisu yang masih ada atau rahim anda sudah bersih sepenuhnya. Sekiranya sudah dipastikan tisu-tisu janin dan uri telah tiada, rawatan tidak perlu dilakukan. 

Andainya tisu masih banyak lagi tertinggal, doktor selalunya akan memberi cadangan untuk menjalani prosedur dilatasi dan kuretaj (D&C) bagi mengelakkan berlakunya jangkitan kuman. Ia dilakukan di bilik bedah dalam keadaan di mana anda tidur sepenuhnya dan prosedur ini merupakan pembedahan yang ringan. Anda boleh pulang ke rumah beberapa jam selepas prosedur ini dan akan mengalami pendarahan kecil dan sedikit sakit perut selepas beberapa hari D&C dijalankan, tetapi ia adalah normal.

Selalunya doktor akan menetapkan temujanji dalam tempoh 1-2 minggu selepas D&C dijalankan untuk memastikan anda bebas dari sebarang masalah. Kebanyakkan doktor akan menasihatkan anda berehat selama beberapa bulan sebelum mencuba sekali lagi untuk hamil. Ini untuk memastikan badan anda pulih sepenuhnya di samping memberikan masa untuk emosi anda pulih seperti sediakala.

Dianggarkan sekitar 90 peratus wanita yang keguguran akan hamil semula. Namun begitu, terdapat sebilangan kecil yang berkemungkinan untuk mengalami keguguran lagi, jadi pastikan anda berjumpa doktor dengan serta merta sekiranya anda hamil lagi.
 
 

No comments :

Post a Comment